KESAKITAN pada tangan dan rasa kebas pada jari sehingga menyebabkan
cawan yang dipegang ketika minum terlepas jatuh, membaca akhbar tidak
lagi menyeronokkan kerana sukar untuk memegangnya, memandu kereta tidak
lagi mengujakan kerana kesukaran mengawal stereng dan tidur malam tidak
lagi lena kerana terjaga disebabkan sakit pada tangan. Ini semua antara
aduan biasa pesakit Carpal Tunnel Syndrome (CTS) kepada doktor ketika
mendapatkan rawatan.
CTS bermaksud gejala sakit dan kebas pada tangan serta jari ibu, jari
telunjuk dan jari tengah disebabkan urat saraf median yang melalui
terowong dalam pergelangan tangan terhimpit dan tidak berfungsi dengan
baik. Apa saja keadaan yang menyebabkan pembengkakan tisu atau perubahan
pada kedudukan tisu dalam terowong pergelangan tangan akan menyebabkan
saraf median terhimpit dan mengganggu fungsinya.
Dalam
kebanyakan kes, penyebab CTS tidak diketahui tetapi keadaan yang biasa
dikaitkan dengan CTS ialah obesiti, mengandung, hypothyroidism (aktiviti
kelenjar tiroid yang kurang daripada normal), artritis, kencing manis
dan trauma.
Radang pada urat tendon berikutan kerja berulang seperti menaip juga boleh menyebabkan terjadinya CTS.
Penyakit
yang jarang berlaku seperti amilodosis (penyusupan hepar), sarkoidosis
(gangguan tidak diketahui sebabnya menyebabkan nodus limfa pada
kebanyakan bahagian tubuh membesar), multiple myeloma (penyakit malignan
pada sum-sum tulang) dan leukemia juga boleh menyebabkan CTS.
Selalunya,
pesakit CTS peringkat awal akan berasa kebas dan semut–semut pada
sebahagian tapak tangan serta ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah.
Gejala ini akan lebih teruk pada waktu malam sehingga boleh
membangunkan pesakit daripada tidur. Ini kerana keadaan pergelangan
tangan yang membengkok ketika tidur atau disebabkan pembengkakan tisu
oleh pengumpulan cecair pada pergelangan tangan ketika berbaring.
CTS
boleh jadi bersifat sementara dan boleh sembuh sepenuhnya atau boleh
menjadi lebih teruk dan kekal. Apabila penyakit itu menjadi lebih
teruk, pesakit boleh mendapat gejala seperti rasa terbakar, kekejangan
dan tangan lemah disebabkan oleh otot tangan mengecut. Kehilangan
kekuatan tangan untuk memegang dan rasa sakit yang mencucuk dalam lengan
menyukarkan seseorang yang mendapat CTS untuk bekerja dan melakukan
kerja rumah.
Diagnosis CTS boleh dilakukan berdasarkan taburan kawasan gejala
sakit dan kebas pada tapak tangan dan jari yang terbabit. Doktor akan
memeriksa pergelangan tangan yang terbabit untuk melihat tanda bengkak,
kehangatan, radang, cacat dan perubahan warna kulit. Pemeriksaan leher,
bahu dan lengan yang terbabit penting untuk memastikan tidak ada
masalah lain yang mungkin menjadi penyebab kepada gejala yang sama.
Doktor
akan melakukan ujian Tinel’s iaitu dengan mengetuk dengan jari pada
pergelangan tangan untuk menghasilkan rasa sesemut pada tapak tangan dan
ujian Phalen’s dengan membengkokkan pergelangan tangan seketika untuk
menghasilkan semula gejala sakit dan kebas pada tangan. Diagnosis
adalah sangat mungkin apabila ujian kelajuan konduksi saraf yang
dilakukan ke atas pesakit tidak normal. Ujian ini membabitkan pengukuran
tahap kelajuan impuls elektrik apabila mereka bergerak di sepanjang
saraf.
Dalam carpal tunnel syndrome, impuls menjadi lambat
ketika mereka melalui terowong pergelangan tangan terbabit. Pemeriksaan
otot elektromiogram ekstremitas (EMG) kadangkala dilakukan untuk
mengecualikan atau mengesan keadaan yang lain yang mungkin menyerupai
carpal tunnel syndrome. X-ray pergelangan tangan dilakukan untuk
mengenal pasti kelainan pada tulang dan sendi.
Pemilihan jenis
rawatan untuk CTS bergantung kepada tahap gejala dan kewujudan penyakit
dasar yang menyebabkan terjadinya CTS. Rawatan awal selalunya dengan
merehatkan tangan terbabit, pemakaian sokongan pada pergelangan tangan
dan tuam ais.
Individu yang mempunyai pekerjaan yang
membuatkan gejala CTS bertambah teruk perlu melakukan perubahan kepada
cara kerja mereka, contohnya papan kekunci komputer dan ketinggian
kerusi perlu diselaraskan untuk keselesaan optimum.
Masalah
atau penyakit dasar perlu dirawat secara individu. Obesiti perlu dirawat
dengan pengurangan berat badan. Bengkak pergelangan tangan yang
disebabkan oleh mengandung akan menghilang selepas bayi dilahirkan.
Beberapa ubat biasa diguna bagi merawat CTS iaitu Vitamin B6
(pyridoxine) dilaporkan mampu melegakan gejala CTS. Nonsteroidal
anti-inflammatory drugs (NSAIDs) turut mengurangkan radang dan sakit.
Kesan sampingan NSAIDs termasuk gangguan pada sistem usus dan perut.
Ubat ini perlu diambil bersama makanan. Corticosteroids boleh diberi
melalui oral atau secara suntikan ke dalam bahagian yang terbabit.
Kebanyakan pesakit CTS merasa lega atau gembira selepas rawatan secara
konservatif dan ubat-ubatan. Dalam kes tertentu tekanan yang kronik
terhadap saraf median boleh menyebabkan kebas dan tangan lemah yang
berkekalan. Untuk mengelak kesan yang serius daripada urat saraf dan
otot terbabit, rawatan secara pembedahan mesti dipilih.
* rasanya dari minggu lepas tangan aku dh kebas².. aku perasan bila pegang hp lama sket mula la rasa kebas, skrg nie pegang mouse pun dh mula rasa kebas.. tapi bila pegang cawan, pensel atau apa² yg tiada kena mengena dengan gadjet canggih nie tangan aku okey² ajer.. pasni takyah pakai hp, takyah buat keje kat opis.. duk diam2 saja... adakah aku tergolong dalam golongan pesakit di atas.. owhhhh!! tidakkkkkkkkkkkkkkkkk~~ WAJIB jumpa doktor!!